Saturday, October 30, 2010

Penerbangan Kecemasan

TLDM Fennec

Oleh Muhammad Saufi Hassan
am@hmetro.com.my

LUMUT: Seorang lelaki diterbangkan dari Hospital Seri Manjung (HSM) di sini ke Hospital Selayang (HS) menggunakan helikopter Fennec dari Skuadron 502, Unit Udara, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berpangkalan di sini, bagi mendapatkan rawatan lanjut berkaitan proses penyambungan pergelangan tangan kanannya yang putus, semalam.

Wong Teck Chong, 20, cedera parah diserang dengan senjata tajam oleh empat lelaki ketika berada berhampiran kafe Internet di Kampung Koh, dekat sini, kira-kira jam 9 malam kelmarin.


Mangsa dikejarkan ke HSM sebelum pihak hospital membuat permohonan kepada TLDM bagi melakukan penerbangan ihsan memindahkan mangsa segera ke HS memastikan proses penyambungan pergelangan tangannya dilakukan.


TLDM dalam satu kenyataan berkata, helikopter Fennec berkenaan diterbangkan Komander Mohd Mokhtaruddeen Mohd Mokhtar dibantu Leftenan Shahrul Nazhar Shamsi selain disertai Pegawai Perubatan HSM, Dr Ain Abdul Rahman, berlepas membawa Teck Chong dari sini pada jam 1 pagi dan tiba di HS sejam 20 minit kemudian.

Katanya, pihak hospital memaklumkan pemindahan pesakit perlu dilakukan dalam tempoh kurang enam jam dari tempoh mangsa mengalami kecederaan kerana tisu dan sel tangan yang terputus masih boleh diselamatkan sekali gus penyambungan semula boleh dibuat.


Pesawat Fennec dan Super Lynx dua helikopter milik TLDM mempunyai krew berkelayakan bagi melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada waktu malam dengan bantuan penglihatan malam (NGV).


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Jamil Osman berkata, serangan itu berlaku kira-kira jam 9 malam ketika mangsa duduk bersendirian berhampiran kafe Internet berkenaan.


“Mangsa dihampiri empat lelaki yang menaiki dua motosikal dipercayai berniat menetak mangsa menggunakan senjata tajam.


“Dalam kejadian itu, mangsa cuba mempertahankan diri menggunakan tangannya menyebabkan tangannya putus ditetak kumpulan terbabit,” katanya.


Jamil berkata, polis belum membuat sebarang tangkapan setakat ini dan pihaknya masih meneruskan siasatan kes itu.

0 comments:

Post a Comment