Saturday, October 30, 2010

Penerbangan Kecemasan

TLDM Fennec

Oleh Muhammad Saufi Hassan
am@hmetro.com.my

LUMUT: Seorang lelaki diterbangkan dari Hospital Seri Manjung (HSM) di sini ke Hospital Selayang (HS) menggunakan helikopter Fennec dari Skuadron 502, Unit Udara, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berpangkalan di sini, bagi mendapatkan rawatan lanjut berkaitan proses penyambungan pergelangan tangan kanannya yang putus, semalam.

Wong Teck Chong, 20, cedera parah diserang dengan senjata tajam oleh empat lelaki ketika berada berhampiran kafe Internet di Kampung Koh, dekat sini, kira-kira jam 9 malam kelmarin.


Mangsa dikejarkan ke HSM sebelum pihak hospital membuat permohonan kepada TLDM bagi melakukan penerbangan ihsan memindahkan mangsa segera ke HS memastikan proses penyambungan pergelangan tangannya dilakukan.


TLDM dalam satu kenyataan berkata, helikopter Fennec berkenaan diterbangkan Komander Mohd Mokhtaruddeen Mohd Mokhtar dibantu Leftenan Shahrul Nazhar Shamsi selain disertai Pegawai Perubatan HSM, Dr Ain Abdul Rahman, berlepas membawa Teck Chong dari sini pada jam 1 pagi dan tiba di HS sejam 20 minit kemudian.

Katanya, pihak hospital memaklumkan pemindahan pesakit perlu dilakukan dalam tempoh kurang enam jam dari tempoh mangsa mengalami kecederaan kerana tisu dan sel tangan yang terputus masih boleh diselamatkan sekali gus penyambungan semula boleh dibuat.


Pesawat Fennec dan Super Lynx dua helikopter milik TLDM mempunyai krew berkelayakan bagi melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada waktu malam dengan bantuan penglihatan malam (NGV).


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Jamil Osman berkata, serangan itu berlaku kira-kira jam 9 malam ketika mangsa duduk bersendirian berhampiran kafe Internet berkenaan.


“Mangsa dihampiri empat lelaki yang menaiki dua motosikal dipercayai berniat menetak mangsa menggunakan senjata tajam.


“Dalam kejadian itu, mangsa cuba mempertahankan diri menggunakan tangannya menyebabkan tangannya putus ditetak kumpulan terbabit,” katanya.


Jamil berkata, polis belum membuat sebarang tangkapan setakat ini dan pihaknya masih meneruskan siasatan kes itu.

Polis perlu bantuan masyarakat

Oleh Muhammad Saufi Hassan
bhnews@bharian.com.my
2010/10/25

Langkah bagi pastikan kadar jenayah semasa, masalah sosial dapat dikawal

IPOH: Polis memerlukan kerjasama masyarakat awam bagi memastikan kadar jenayah dan masalah sosial dapat dikawal secara menyeluruh di setiap kawasan atau daerah.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah, berkata kerjasama daripada setiap lapisan masyarakat penting kerana golongan itu mampu menjadi mata dan telinga kepada polis supaya langkah membasmi jenayah serta masalah sosial di tempat masing-masing lebih berkesan.

“Pembabitan masyarakat dalam Program Komuniti Polis amat penting kerana program ini akan memberi pendedahan kepada mereka bahawa masyarakat umum mampu membantu polis dalam usaha menangani jenayah, sekali gus mengurangkan indeks jenayah semasa.

“Ini secara tidak langsung dapat mewujudkan rasa senang di kalangan masyarakat yang terbabit kerana bersama-sama pasukan polis untuk membanteras jenayah dan dapat mewujudkan suasana harmoni,” katanya berucap di majlis pelancaran Program Komuniti Polis Peringkat Polis Tambun yang disempurnakan Menteri Kewangan Kedua merangkap Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah di sini, baru-baru ini.

Zulkifli berkata, program itu sudah diwujudkan di 15 daerah seluruh negeri dan pihaknya bercadang untuk meneruskan program itu di 34 lokasi di daerah lain seluruh Perak.

Katanya, langkah itu bagi membolehkan semua pihak terbabit dan bersama-sama menangani masalah jenayah setempat.

Beliau berkata, masih ada segelintir masyarakat yang mengambil sikap tidak ambil peduli terhadap program dijalankan sedangkan ia mampu memberi kebaikan bersama.

“Justeru, saya berharap lebih ramai golongan muda turut serta dalam program itu. Usaha menangani jenayah perlu dilaksanakan secara berterusan terutama di kawasan berisiko tinggi,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Husni berkata, kestabilan negara dicapai hasil daripada komitmen pasukan keselamatan seperti polis untuk menjaga keamanan dan menguatkuasakan undang-undang negara.

Katanya, rakyat harus bekerjasama dengan polis secara berterusan kerana hasil bantuan orang ramai mampu meningkatkan lagi keberkesanan pasukan itu dalam menangani jenayah.

PS: KP Perak kini adalah KP Kuala Lumpur.. Selamat Bertugas Tuan....

Tuesday, October 12, 2010

News... lagi...

Warga emas maut dirempuh ETS

Oleh Muhammad Saufi Hassan
bhnews@bharian.com.my

NAJIB (kanan) melihat keadaan lelaki warga emas yang dirempuh ETS ketika ingin melintas laluan berkembar kira-kira 1 km dari Stesen Kereta Api Batu Gajah, Ipoh, semalam.

NAJIB (kanan) melihat keadaan lelaki warga emas yang dirempuh ETS ketika ingin melintas laluan berkembar kira-kira 1 km dari Stesen Kereta Api Batu Gajah, Ipoh, semalam.

Insiden pertama sejak dilancar Julai lalu


BATU GAJAH: Seorang lelaki berusia 71 tahun maut dirempuh Kereta Api Elektrik (ETS) dipercayai ketika ingin melintas landasan berkembar 1 kilometer (km) dari Stesen Kereta Api Batu Gajah di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Najib Mohamad berkata, dalam kejadian jam 10.42 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Mani cuba melintas laluan berkembar itu seorang diri sebelum dilanggar kereta api yang datang dari arah Kuala Lumpur menuju Ipoh.

“Ketika kejadian mangsa sedang menolak basikal untuk menyeberangi laluan itu dan dipercayai tidak menyedari kehadiran kereta api itu sebelum dilanggar sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan teruk di beberapa anggota badan.

“Mangsa tercampak sejauh 10 meter dari tempat kejadian dan cedera parah dari kepala hingga pinggang akibat rempuhan kuat menyebabkan mati di tempat kejadian. Mangsa dibawa ke Hospital Batu Gajah untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, tiada sebarang pengenalan diri ditemui pada badan mangsa dan meminta orang ramai atau sesiapa saja yang kehilangan ahli keluarga menghubungi Ibu Pejabat Polis (IPD) Batu Gajah di talian 05-3662222 untuk pengecaman mayat mangsa.
Katanya, ia kejadian kedua selepas seorang wanita maut dirempuh oleh kereta api tetapi bukan ETS ketika ingin melintas laluan berkembar itu beberapa bulan lalu walaupun jejantas sudah disediakan untuk kegunaan orang awam.

“Segelintir orang awam sengaja memotong pagar keselamatan yang disediakan untuk menghalang mereka melintasi laluan kereta api tetapi ada di antara mereka yang masih berdegil untuk terus menggunakan 'jalan pintas' yang ternyata membahayakan keselamatan, " katanya.

Difahamkan ETS berkenaan meneruskan perjalanan ke Stesen Kereta Api Ipoh dan membuat laporan di IPD Ipoh.

~my write-up~ Berita Harian 12.10.2010

Friday, October 8, 2010

continue... some of my writeup

Utara: ‘Saya tak sabar ke sekolah’
Oleh Muhammad Saufi Hassan
bhnews@bharian.com.my

IPOH: “Saya gembira kerana selepas ini dapat belajar seperti rakan lain. Saya juga tidak sabar untuk bangun pagi dan memakai pakaian seragam sekolah," kata Mohd Zainawi Abdullah, 7.

Kanak-kanak itu yang kini tinggal bersama neneknya, Normah Asinar, 51, tidak dapat memasuki alam persekolahan awal tahun ini berikutan tiada sijil kelahiran manakala usaha mencari ibunya, Siti Nur Ain Talib, 21, yang menghilangkan diri juga menemui jalan buntu.

Bagaimanapun, masalah kanak-kanak itu yang dipaparkan Berita Harian minggu lalu, selesai apabila Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengeluarkan sijil lahir baru selepas pemeriksaan mengesahkan butiran kelahiran kanak-kanak itu.
Kelmarin, JPN menyerahkan dokumen itu kepada kanak-kanak terbabit.

Mohd Zainawi yang ditemui pada majlis penyerahan dokumen itu, berkata dia tidak sabar untuk bersama rakannya ke sekolah selepas gagal berbuat demikian sejak Januari lalu.

"Saya mahu belajar bersungguh-sungguh kerana mahu menjadi seorang doktor," katanya yang ditemani neneknya.

Sementara itu, Pengarah JPN Perak, Alias Mamat berkata, pihaknya berusaha mengesan dokumen berkaitan kelahiran Mohd Zainawi sebaik kisahnya dipaparkan Berita Harian.
"Kami mengesan semula maklumat peribadinya melalui pangkalan data dan usaha itu ternyata berbaloi apabila kami berjaya mengesan semula rekod pendaftaran kanak-kanak ini.

"Kami bersimpati dengan apa yang berlaku kepadanya dan sebagai agensi yang bertanggungjawab dalam hal ehwal pendaftaran, kami akan berusaha sebaik mungkin untuk membantu sesiapa saja yang berdepan masalah seperti ini," katanya.

Beliau berkata, JPN sentiasa memberi perhatian serius terhadap masalah seumpama itu kerana ia akan memberi implikasi negatif kepada individu yang terbabit.

Katanya, ini termasuk tidak dapat untuk mendaftar sekolah dan melaksanakan pelbagai lagi urusan rasmi yang memerlukan dokumen sijil kelahiran.

Tuesday, October 5, 2010

My Job....

Yup..
Some of my articles...
Sepanjang kerja jadi 'reporter' ni... tu adalah antara write-up yang ditulis dan diedit oleh aku n bos aku ler...
hihih.. kami anak baru belajar kan.. kalau salah tolong tunjukkan...
anyways... i must admitt... journalism are great world...
indeed.. sometimes i luv it.. but some of its.. most hated... hahaha... dont know why...
work is work... job is job... nothing can bother it...
i'll post my new articles soon.. lately busy with all the event and appointment...
see ya

Raya Edition....

Syawal penuh makna

Oleh Muhammad Saufi Hassan

2010/09/04

IPOH: “Hari Raya tahun ini pasti amat bermakna kepada saya dan rakan kerana masih ada pihak sudi menghulurkan bantuan sekali gus menceriakan Aidilfitri tidak lama lagi.

TANYA...Pengurus Bahagian Tesco Station 18, Ronida Sani (kiri) dan sukarelawan YBU, Hanisah Ahmad,  melayan Mohd Haikal Ridzuan Abdullah memilih pakaian.
TANYA...Pengurus Bahagian Tesco Station 18, Ronida Sani (kiri) dan sukarelawan YBU, Hanisah Ahmad, melayan Mohd Haikal Ridzuan Abdullah memilih pakaian.
“Saya amat gembira dan teruja menunggu ketibaan Syawal tahun ini kerana ia saat manis buat kami semua sebagai anak yatim,” kata Syed Iskandar Zulkarnain Mahbob, 13, yang kehilangan bapa dan kini tinggal bersama ibu dan datuknya.


Syed Iskandar yang juga anak keempat daripada enam beradik melahirkan rasa terima kasih kepada Harian Metro, Yayasan Bina Upaya (YBU), Tesco dan juga kerajaan negeri atas keprihatinan pihak terbabit menceriakan anak yatim sepertinya.


Bagi Hariyanti Sunita Halim, 15, yang juga seorang daripada 50 anak yatim berkata, sumbangan hari raya itu akan menjadi pembakar semangatnya kerana beliau akan menduduki Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) tidak lama lagi.


“Ini sumbangan pertama bagi saya dan nyata amat gembira kerana dapat memakai baju baru menjelang Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya yang juga anak sulung daripada lima beradik.


Terdahulu, semua 50 anak yatim tiba menaiki bas disediakan Setiausaha Kerajaan Negeri diiringi sukarelawan YBU selepas berkumpul di Masjid As-Syakirin, Kampung Ulu Kuang, Chemor. Mereka diberi peluang memilih pakaian baru sempena Aidilftri secara percuma di pasar raya Tesco Station 18, di sini. Sementara itu, Pengurus Besar Stor Tesco Station 18, Vijaya Rani berkata, pihaknya menyediakan kira-kira 40 kakitangan peringkat pengurusan untuk membantu melicinkan Program Titipan Kasih anjuran Harian Metro itu.


Program tahun ketiga ini turut mendapat sokongan Kerajaan Melaka, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Sani Ekspres Sdn Bhd, Tesco, Kumpulan AmBank, Giant, Orang Kampung Corporation, Takaful Ikhlas, Federal Malay Holdings, Tenaga Nasional Berhad, Shell, Yusof Taiyoob Sdn Bhd, Padi Beras Nasional Berhad, Puspakom Sdn Bhd, Iltizam Perkasa, Kentucky Fried Chicken, Fella Designs, Firefly, Milo, Follow Me, Islamic Relief Malaysia, Nurbeautyline, Maggi, Shell dan Old Town White Coffee.

....3

Pelajar terlantar disuntik penyamun

Oleh Muhammad Saufi Hassan

2010/08/25
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

IPOH: Seorang pelajar tingkatan lima sebuah sekolah di sini, bukan saja menjadi mangsa samun seorang lelaki tidak dikenali, malah turut disuntik sejenis cecair yang tidak diketahui hingga menyebabkannya terlantar di hospital sejak seminggu lalu.

LAWAT...Dr Mah menziarahi Chea, semalam.
LAWAT...Dr Mah menziarahi Chea, semalam.

Lebih membimbangkan, doktor kini memantau keadaan mangsa dari semasa ke semasa bagi mengenal pasti cecair yang disuntik lelaki terbabit.

Berdasarkan pemeriksaan awal dan ujian darah, doktor mengesahkan mangsa tidak dijangkiti jangkitan seperti virus, hepatitis atau HIV, namun pihak hospital akan memantau keadaan mangsa dan menjalankan ujian darah kali kedua dalam tempoh tiga bulan lagi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam 16 Ogos lalu, mangsa, Chea Kiat Heong, 17, pelajar lelaki Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJKC) Sam Tet, kini trauma selepas disamun individu tidak dikenali ketika pulang dari sebuah pasar raya berhampiran sekolahnya selain turut disuntik sejenis cecair pada tangan kirinya.

Bapa mangsa, Chea Tsu Tong, 54, berkata ketika kejadian, anaknya ditolak dari belakang oleh lelaki terbabit sebelum disuntik dengan cecair berkenaan selepas anaknya terjatuh ke lantai jejantas.

Katanya, sebaik terjatuh, lelaki terbabit melarikan dompet anaknya.

“Ketika kejadian, anak saya keluar membeli alat tulis di sebuah pasar raya berdekatan sekolah dan ketika dalam perjalanan pulang, dia tiba-tiba ditolak lelaki terbabit.

“Anak saya berjalan bersendirian ketika melalui jejambat berkenaan tambahan keadaan di situ agak sunyi dan gelap,” katanya ketika ditemui di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, semalam.

Menurutnya, anaknya tidak sedar ada lelaki mengekori dari belakang sebelum menolaknya hingga jatuh lalu menyuntik dengan jarum sebelum melarikan dompetnya.

Katanya, bagaimanapun, dia lega selepas ujian darah mendapati anaknya tidak dijangkiti sebarang jangkitan dan sudah membuat laporan polis.

Kejadian menimpa mangsa turut mendapat simpati Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon yang melawatnya semalam.

Dr Mah berkata, pihaknya gembira dengan keputusan ujian darah yang dijalankan beberapa hari lalu dan prihatin terhadap kejadian menimpa mangsa.