Tuesday, October 5, 2010

...........2

Utara: ‘Sarang Aedes, ular’
Oleh Muhammad Saufi Hassan
bhnews@bharian.com.my
2010/08/03

BATU GAJAH: Kira-kira 200 penduduk Taman Batu Gajah Perdana, dekat sini resah apabila kawasan tadahan air di kawasan perumahan itu terbiar tanpa penyelenggaraan dan habitat reptilia berbisa seperti ular, selain didakwa menjadi kawasan pembiakan nyamuk Aedes.

Tempat tadahan itu dibina pada 2004 sebagai kawasan simpanan air jika berlaku hujan lebat, sebelum air berkenaan dilepaskan ke sungai berdekatan.

Sejak dibina, kawasan berkenaan diselenggarakan dengan baik oleh yang pihak bertanggungjawab, namun ia hanya mampu bertahan selama dua tahun iaitu sehingga 2006.
Jurucakap penduduk, Mohd Hasbullah Kamal berkata, sejak 2006, kawasan tadahan terbabit dibiarkan tanpa diselenggara oleh pihak yang bertanggungjawab, sehingga ia dipenuhi semak samun dan menimbulkan suasana kurang selesa kepada penduduk berhampiran.

Katanya, lebih membimbangkan, kawasan terbabit turut menjadi tumpuan haiwan liar, termasuk ular sehingga mengancam keselamatan penduduk.

“Sejak sembilan tahun saya menetap di sini, pelbagai rungutan dan juga aduan sudah dibuat penduduk kepada pihak berkuasa berhubung masalah itu, namun tiada sebarang tindakan susulan diambil.

"Boleh dikatakan saban hari ada saja penduduk yang akan terserempak dengan ular berbisa di kawasan tadahan ini,” katanya ketika ditemui di kawasan perumahan itu, kelmarin.
Tinjauan Berita Harian mendapati kawasan tadahan itu dibiarkan tanpa pengawasan sewajarnya dan ia seperti 'mini belukar'.

Malah, terdapat beberapa tempat takungan air yang mempunyai risiko untuk pembiakan nyamuk Aedes seperti didakwa penduduk.

Mohd Hasbullah mendakwa, masalah itu pernah diajukan secara lisan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), tetapi tiada susulan diambil sehingga kini.

Katanya, penduduk kampung pernah mengadakan gotong royong membersihkan kawasan terbabit, namun tiada sokongan daripada pihak berkuasa.

“Bukan itu saja yang membimbangkan kami, malah pada sebelah malam kami terpaksa berdepan masalah nyamuk dan baru-baru ini tiga penduduk perumahan disahkan positif denggi," katanya.

Beliau berkata, kawasan tadahan air itu dibina oleh pihak berkuasa untuk mengelakkan banjir yang sering melanda di kawasan perumahan itu kira-kira tujuh tahun lalu, namun tiada penyelenggaraan berkala dan sempurna.

Masalah itu turut mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Datuk Dr Mah Hang Soon yang meninjau kawasan terbabit untuk melihat sendiri masalah yang dialami oleh penduduk taman itu.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG), Ismail Ibrahim berkata, pihaknya akan mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk dan membersihkan kawasan itu secepat mungkin bagi mengelakkan sebarang ancaman daripada ular dan nyamuk.

0 comments:

Post a Comment