Tuesday, October 5, 2010

Antara Stori KEMASYARAKATAN....1

link: http://www.nre.gov.my/BM/Kenyataan%20Akhbar/Utara-%20Lubang%20maut.pdf

Utara: Lubang maut
Oleh Muhammad Saufi Hassan
bhnews@bharian.com.my
2010/08/16

IPOH: Pengguna laluan utama di Lahat Lane, di sini, diancam bahaya selepas sebahagian jalan yang menjadi penghubung penduduk sekitar itu runtuh akibat hujan lebat yang melanda bandar raya ini sejak beberapa hari lalu.

Jalan yang terletak bersebelahan dengan Sungai Kinta itu turut menjadi laluan pilihan bagi beberapa kampung berhampirannya termasuk Kampung Temiang, Kampung Paloh dan Kampung Tebing Tinggi kerana laluan itu menjimatkan masa berbanding laluan utama yang lain.

Seorang pesara tentera , R Susila, 54, berkata sepanjang beliau menetap di kawasan itu yang sudah menjangkau lebih daripada 25 tahun, ia kejadian tanah runtuh pertama yang menimpa penduduk sekali gus membimbangkan semua pihak.
“Jarak antara rumah dan kawasan tanah runtuh hanya 50 meter dan keadaan ini boleh membahayakan kami sekeluarga jika tiada tindakan susulan yang diambil oleh pihak berkuasa berikutan kejadian ini.

“Semalam (kelmarin), kira-kira jam 6 petang, tanah pasir yang sebelum ini terhakis sedikit demi sedikit akibat hujan lebat beberapa hari lalu akhirnya runtuh dipercayai akibat daripada tanah itu yang sudah tidak mampu lagi menampung kandungan air di dalam tanah, " katanya di sini, semalam.

Tinjauan Berita Harian mendapati tanah runtuh sepanjang 15 meter itu dan terhakis sedalam empat meter masih mengalami hakisan sedikit demi sedikit.
Jalan itu sudah mengalami hakisan sejak dua bulan yang lalu.
Susila mendakwa beberapa penduduk lain pernah mengemukakan aduan kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berhubung masalah itu tetapi tiada tindakan lanjut yang diambil.

“Kami berharap supaya pihak berkuasa dapat membantu dan tampil untuk memperbaiki jalan dengan segera kerana bimbang risiko kemalangan terutamanya kepada pelajar sekolah yang sering kali menggunakan jalan itu," katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Ipoh. Datuk Roshidi Hashim, berkata MBI akan melantik kontraktor bagi menjalankan kerja pembaikan jalan terbabit dan mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

“MBI akan bekerjasama dengan JPS untuk menyelesaikan masalah berkenaan dengan segera sebelum keadaan bertambah buruk dan langkah keselamatan akan diambil.

“Langkah pertama yang akan dilakukan adalah pemasangan lampu amaran berhampiran kawasan runtuhan terbabit supaya pengguna di jalan lebih peka dan dapat mengelakkan daripada terbabit dalam kejadian yang lebih buruk," katanya.

Roshidi berkata, MBI menjangkakan kerja pembaikan yang akan dijalankan akan siap sepenuhnya dalam masa tiga minggu.

0 comments:

Post a Comment