Friday, October 8, 2010

continue... some of my writeup

Utara: ‘Saya tak sabar ke sekolah’
Oleh Muhammad Saufi Hassan
bhnews@bharian.com.my

IPOH: “Saya gembira kerana selepas ini dapat belajar seperti rakan lain. Saya juga tidak sabar untuk bangun pagi dan memakai pakaian seragam sekolah," kata Mohd Zainawi Abdullah, 7.

Kanak-kanak itu yang kini tinggal bersama neneknya, Normah Asinar, 51, tidak dapat memasuki alam persekolahan awal tahun ini berikutan tiada sijil kelahiran manakala usaha mencari ibunya, Siti Nur Ain Talib, 21, yang menghilangkan diri juga menemui jalan buntu.

Bagaimanapun, masalah kanak-kanak itu yang dipaparkan Berita Harian minggu lalu, selesai apabila Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengeluarkan sijil lahir baru selepas pemeriksaan mengesahkan butiran kelahiran kanak-kanak itu.
Kelmarin, JPN menyerahkan dokumen itu kepada kanak-kanak terbabit.

Mohd Zainawi yang ditemui pada majlis penyerahan dokumen itu, berkata dia tidak sabar untuk bersama rakannya ke sekolah selepas gagal berbuat demikian sejak Januari lalu.

"Saya mahu belajar bersungguh-sungguh kerana mahu menjadi seorang doktor," katanya yang ditemani neneknya.

Sementara itu, Pengarah JPN Perak, Alias Mamat berkata, pihaknya berusaha mengesan dokumen berkaitan kelahiran Mohd Zainawi sebaik kisahnya dipaparkan Berita Harian.
"Kami mengesan semula maklumat peribadinya melalui pangkalan data dan usaha itu ternyata berbaloi apabila kami berjaya mengesan semula rekod pendaftaran kanak-kanak ini.

"Kami bersimpati dengan apa yang berlaku kepadanya dan sebagai agensi yang bertanggungjawab dalam hal ehwal pendaftaran, kami akan berusaha sebaik mungkin untuk membantu sesiapa saja yang berdepan masalah seperti ini," katanya.

Beliau berkata, JPN sentiasa memberi perhatian serius terhadap masalah seumpama itu kerana ia akan memberi implikasi negatif kepada individu yang terbabit.

Katanya, ini termasuk tidak dapat untuk mendaftar sekolah dan melaksanakan pelbagai lagi urusan rasmi yang memerlukan dokumen sijil kelahiran.

0 comments:

Post a Comment