Tuesday, October 5, 2010

....2

Lelaki maut kena 11 das tembakan
Oleh Muhammad Saufi Hassan

2010/09/07

IPOH: Seorang lelaki maut selepas ditembak 11 das dari jarak dekat oleh seorang lelaki yang membonceng sebuah motosikal di Taman Mewah, dekat Batu Gajah, kira-kira 20 kilometer dari sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian 2.30 pagi itu, mangsa, K Vijayan, 30, mati di tempat kejadian selepas mengalami cedera parah di leher dan pinggang.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Najib Mohamad, berkata mangsa dipercayai ke rumah rakannya itu yang sebelum itu mengadakan satu majlis perkahwinan.
Katanya, mangsa berada di rumah berkenaan kira-kira 30 minit, dikatakan dihampiri seorang lelaki bersenjatakan sepucuk pistol, sebelum melepaskan 12 das tembakan dari dekat ke arah mangsa.

Sebanyak 11 das tembakan yang dilepaskan suspek mengenai beberapa bahagian
anggota badan mangsa manakala satu das tembakan tersasar ke jalan raya, katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Najib berkata, selepas melepaskan 12 das tembakan ke arah mangsa, suspek yang memakai topi keledar bertutup penuh kemudian melarikan diri dengan motosikal ditunggang rakan suspek.
Katanya, siasatan awal polis mendapati suspek disyaki menggunakan sepucuk pistol jenis 9 mm dan motif pembunuhan masih disiasat.

Susulan kejadian itu, beliau berkata, polis menjalankan operasi menjejaki suspek dan menahan tujuh lelaki berusia antara 20 hingga 37 tahun di sekitar Batu Gajah bagi membantu siasatan.

Najib turut meminta kerjasama orang awam yang menyaksikan kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah di 05-3662222 untuk membantu siasatan kes berkenaan.

0 comments:

Post a Comment